Seramai 105 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan tiga buah sekolah terpaksa berpindah pusat peperiksaan saat akhir susulan insiden kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, di sini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam yang terletak berhampiran kawasan kilang.

“Kira-kira 20 calon dari SK Paya Redan kita tumpangkan ke Pusat Peperiksaan di SK Paya Dalam.

“Kita juga membuka satu pusat peperiksaan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota bagi menempatkan 79 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut katanya, perubahan lokasi pusat peperiksaan itu setakat ini kekal sehingga tarikh akhir peperiksaan UPSR iaitu pada 12 September ini.

Tambahnya, semua murid Tahun Satu hingga Tahun Lima di ketiga-tiga buah sekolah itu juga diarah bercuti bagi mengelak terjejas dengan sebarang pencemaran.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pelajar sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah seperti biasa sehingga dimaklumkan.

“Ini kerana, tiga buah sekolah ini terletak dalam radius tiga kilometer dari lokasi kilang pemprosesan ayam berkenaan,” tambahnya.