Kebocoran bahan kimia di sebuah kilang produk alkali-klorin di Kampung Baru, Bukit Merah di sini kini berada dalam keadaan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam penjelasannya berkata ia bukanlah letupan kimia atau kebocoron amonia seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Sebaliknya, Dr Mah menjelaskan bahawa bunyi kuat dan bau tengik itu berpunca daripada kebocoron sebuah tangki yang mengandungi asid ferik.

"Tangki yang mengandungi asid ferik tersebut telah terjatuh dan menyebabkan tumpahan asid ke tempat takungan peluntur, dan kesan tindak balas kimia tersebut telah menyebabkan terhasil klorin sebagai produk sampingan atau by-product.

"Gas klorin yang tengik dan tajam itulah yang dihidu penduduk," katanya kepada pemberita dalam sidang media di hadapan kilang kimia berkenaan berhampiran kawasan perindustrian Bukit Merah, Menglembu, di sini, pada petang Sabtu.

Dr Mah berkata beliau telah menjalankan perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Alam Sekitar dan pihaknya akan memastikan pemantauan berkala dilakukan bagi memastikan operasi sekitar kilang berkenaan menepati piawaian.

Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Kimia dan Hazmat BBP Pasir Puteh, Mohd Khairul Jamil berkata hasil pemantauan mendapati kadar pH di kawasan berkenaan telah mencapai purata stabil dan operasi pembersihan dan penstabilan kimia juga telah ditamatkan sepenuhnya.

"Bacaan pH buat masa ini adalah 4, dan kemungkinan ia akan naik atau turun. Saya akan menempatkan sebuah jentera di kawasan kilang ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Selain itu, kita juga telah bekerjasama dengan Pasukan Maklum Balas Kecemasan (ERP) yang sememangnya tersedia di mana-mana kilang untuk berhadapan dengan kes sebegini. Kita akan pastikan kesemua bahan kimia telah distabilkan agar tidak mendatangkan kesan kepada semua," katanya kepada pemberita dalam sidang media berkenaan.


Pakar kimia daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat itu turut memberi jaminan bahawa kesan daripada klorin hanya menyebabkan iritasi kepada mata dan sesak nafas, namun ia tidak mendatangkan maut.

Khairul berkata dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, dua pekerja kilang berkenaan yang berada di tempat kejadian telah dihantar ke klinik dan hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Selain itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh juga telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami dehidrasi dan keletihan setelah bertungkus lumus dalam operasi pembersihan yang memakan masa hampir dua jam itu.

"Seorang daripada anggota bomba mengalami beberapa simptom serius seperti sesak nafas, muntah, iritasi mata dan pening dan kini sedang mendapatkan rawatan.

"Selebihnya mengalami kepenatan kerana terpaksa membawa lima tan sodium bersama bagi proses penstabilan kimia kerana tidak sempat menunggu jentera pengangkut," katanya lagi.