Menteri Belia dan Sukan akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur minggu depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga akan membentangkan cadangan penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bagi pertimbangan Mesyuarat Khas.

"Mungkin akan ada cadangan untuk mengadakan pertandingan bola sepak nanti. Mesyuarat Khas Menteri-Menteri juga akan dengar dulu cadangan KBS dan akan mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada ia boleh dibenarkan atau tidak .

"Hari ini, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal," katanya dalam sidang media PKPP di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk membenarkan aktiviti sukan berkontak bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Justeru kepada mereka yang berkaitan, tunggulah kalau boleh atau tidak (dilaksanakan). Kalau boleh, apa SOP ditetapkan," ujarnya.