Tujuh suspek berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah dibuang sekolah kerana tidak hadir ke sekolah secara berterusan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tiga suspek pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, dua suspek di SMK Padang Tembak dan dua lagi masing-masing di SK Dato Keramat (1) dan SK Dato Keramat (2).

"Mereka pernah bersekolah pada satu ketika sahaja. Contohnya, jika sekarang mereka berumur 16 tahun, mereka pernah ke sekolah semasa Tingkatan Satu untuk beberapa bulan sahaja.

"Semua suspek mempunyai masalah yang berpanjangan. Ada yang tidak hadir ke sekolah sejak lima tahun lalu, ada yang setahun lalu," katanya pada satu sidang media hari ini.



BACA: Tujuh remaja ditahan bantu siasatan kes kebakaran pusat tahfiz

BACA: Kebakaran pusat tahfiz: Tujuh fakta susulan penahanan suspek


Terdahulu, beliau merasmikan Karnival 'Katakan Tidak Pada Dadah' di SMK Seri Saujana di Bandar Baru Sri Petaling di sini.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu jawatankuasa baharu perlu dibentuk bagi menyelaras Sekolah-sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan pondok agama.

Mahdzir mengesahkan penglibatan kementeriannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas berhubung isu Pusat Tahfiz yang dijadual berlangsung esok.

BACA: Sekolah tahfiz: Kementerian Pendidikan sedia kerjasama dengan kerajaan negeri

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rusni Abd Jalil menekankan bahawa kesemua sekolah yang pernah dihadiri suspek bukan dalam senarai hot spot.

"Ketiga-tiga buah sekolah yang dihadiri oleh suspek itu bukan dalam senarai hot spot dan bukan dalam kawasan berisiko tinggi.

"Untuk kawasan Keramat, sekolah yang berisiko hanya sekolah SMK Taman Sri Rampai, SMK Tinggi Setapak dan yang lain di Bangsar, Pudu dan Sentul," katanya yang ditemui pada majlis yang sama.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata motif tindakan membakar Pusat Tahfiz itu berpunca daripada ejek-mengejek antara tujuh suspek yang ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu.