Petronas yakin kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada awal pagi Jumaat, tidak akan mengakibatkan masalah kesihatan kepada penduduk di sekitarnya.

“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kebakaran sudah dapat dikawal dan tidak ada risiko berkaitan kesihatan disebabkan kejadian ini,” kata Kumpulan Komunikasi Petronas menerusi satu kenyataan media.

Kebakaran itu dipercayai berlaku di Unit Atmospheric Residue Desulphurisation (ARDS) yang masih berada di bawah pemerhatian peringkat terakhir sebelum digunakan sepenuhnya.

Setakat ini hanya seorang kakitangan yang mengalami kecederaan ringan tetapi sudah mendapatkan rawatan susulan.

Pihak Petronas mengambil langkah produktif bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Pasukan penyiasatan telah ditubuhkan, dan kini bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat punca sebenar kejadian,” kata kenyataan itu.

Kebakaran dipercayai berlaku di sebuah kilang petrokimia bagi pembangunan hab industri minyak dan gas penapis di Pengerang, Johor pada jam 1.28 pagi Jumaat.

Difahamkan kilang tersebut ialah salah satu projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).