Keadaan dan persekitaran kerja golongan pekerja di negara ini sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan, kata presiden Parti Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata ini terbukti melalui langkah-langkah positif yang diambil oleh kerajaan seperti kajian untuk menetapkan gaji permulaan bagi setiap sektor untuk penambah baikan skim gaji.

"Selain menghormati pekerja di negara ini dan mengiktiraf sumbangan mereka, kita juga harus peka dan melakukan lebih banyak untuk menambah baik hak, kebajikan dan pembangunan pekerja," kata beliau dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2017.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) J. Solomon mencadangkan supaya undang-undang buruh sekarang dipinda untuk memasukkan prosedur yang pragmatif bagi menangani rungutan pekerja demi mewujudkan budaya dan persekitaran kerja yang lebih baik.

Beliau juga berkata Tabung Pembangunan Sumber Manusia perlu diperluaskan kepada semua sektor dan memperincikan peruntukan bagi latihan untuk pekerja dari semua peringkat.

MTUC menyokong usaha memperkenalkan undang-undang dan hak asas pekerja dalam kurikulum sekolah untuk membolehkan pelajar memahami dan menghargai persekitaran kerja dengan lebih baik, kata beliau.

Sementara itu, Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus memberi perhatian untuk meningkatkan kebajikan dan taraf hidup pekerja di negara ini.

Beliau berkata sudah pasti ada golongan yang ragu-ragu mengenai langkah-langkah yang diambil untuk membantu pekerja tetapi kerajaan komited untuk meneruskan inisiatif itu.

Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, dalam perutusan sempena Hari Pekerja menggesa pekerja supaya lebih kreatif dan produktif untuk menambah nilai kepada proses kerja mereka

Untuk mencapai ini, beliau berkata, pekerja dan semua rakyat Malaysia perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

-- BERNAMA