Nasib petugas media di Utusan Malaysia dan Kosmo terus dapat perhatian luas.

Di Sarawak, Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan kerjasama Persatuan Jurufoto Akhbar Sarawak (SPPA) telah menubuhkan tabung bantuan solidariti bagi meringankan beban yang ditanggung rakan media di organisasi itu.

Presiden KDJA, Jacqueline Nur Atiqah dalam kenyataannya hari ini beliau berharap sumbangan itu dapat membantu mereka yang terlibat.

Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, sekurang-kurangnya bantuan itu dapat membantu meringankan beban.

Selain itu, bagi Bendahari KDJA, Zulazhar Sheblee, pihaknya berharap orang ramai dan rakan-rakan media di Sarawak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

"Kita melancarkan tabung untuk solidariti Utusan Malaysia dan Kosmo!. Ia bagi membantu mereka," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden SPPA, Mohd Radzi Bujang, tabung itu akan dibawa ke setiap tugasan yang mereka hadiri.

"Ini sahaja yang dapat kami lakukan untuk bantu rakan-rakan media di Utusan Malaysia dan Kosmo!. Kami daripada SPPA di sini berdoa semoga mereka dipermudahkan urusan dan tabah menghadapi cabaran," katanya.

Sumbangan terkumpul akan disalurkan kepada National Union Journalists (NUJ) Association, Malaysia.