Kementerian Belia dan Sukan memberi jaminan tidak akan 'menghukum' kakitangan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN).

Timbalan Menterinya, Steven Sim berkata kerajaan hari ini tidak mengamalkan kaedah balas dendam.

"Bab kasih sayang kita memang perlu banyak belajar daripada Arau tapi Arau jangan bimbang. Pembangkang di sebelah sana pun kita tak hukum.

"Kita tidak menggunakan kaedah balas dendam apatah lagi penjawat awam yang telah banyak berkhidmat kepada negara tanpa mengira siapa tuan politiknya.

"Jadi saya rasa dalam bab itu tidak perlu dikhuatiri kerana kita akan membuat rombakan semula. Mana yang boleh kita akan serapkan dalam program-program yang baharu," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Sebelumnya, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) memohon agar kerajaan memberi jaminan kakitangan PLKN dan BTN tidak dibuang kerja susulan pemansuhan dua program itu.

"Menteri boleh bagi jaminan mereka tak dibuang kerja? Boleh tak bagi kasih sayang sedikit?

"Kini (PH) dah menang, jangan menghukum mereka, hukum kami tak apa, kami rela. Tapi jangan hukum kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan sebagainya," katanya .

Dalam pada itu, Steven menjelaskan kerajaan akan menerapkan elemen kasih sayang dan inklusif dalam program yang bakal dilaksanakan menggantikan PLKN dan BTN.

"Tadi Arau kata mesti berpandukan kasih sayang, saya ingin menarik perhatian Arau tema Hari Kebangsaan kita pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku.

"Jadi saya rasa Arau dan ahli-ahli lain tidak perlu bimbang, prinsip atau nilai yg akan diterapkan tak kira dalam PLKN yang baharu atau BTN kalau ada yang baharu akan berpandukan kasih sayang, inklusif, ketimuran. Itu jaminan yang kita nak beri," katanya.

Menjawab soalan daripada Siti Zailah Mohd Yusof (Pas-Rantau Panjang), Steven memaklumkan Dewan Rakyat PLKN memiliki 2,000 orang kakitangan kontrak dan secara keseluruhan BTN memiliki 628 orang kakitangan.