Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) zon Sabah berjaya mematahkan cubaan seludup masuk rokok yang dipercayai lari dari cukai berjumlah RM1,625,728 di Jalan Silam, di sini, 28 April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Kastam bahagian penguatkuasaan telah menahan sebuah lori jenis Isuzu NPR kira-kira 2.45 petang yang dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.

"Seorang lelaki berusia 27 tahun merupakan pemandu lori berkenaan ditahan dan pemeriksaan lanjut terhadap lori tersebut menjumpai muatan kotak berisi rokok pelbagai jenama.

"Pemeriksaan lanjut terhadap muatan kotak itu menemui sebanyak 1,740,800 batang rokok seludup pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Abdullah, modus operandi penyeludup ialah menggunakan kaedah penghantaran barangan pos bagi mengaburi perhatian pihak berkuasa.

"Ini merupakan tangkapan pertama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang terbesar di Lahad Datu.

Suspek telah direman selama 14 hari dari tarikh tangkapan dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.