Penganjuran Karnival Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Sabah 2017 adalah antara medium yang tepat dalam mempertemukan keperluan industri dan penjana tenaga kerja, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata karnival itu adalah platform terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan yang dijana oleh institusi TVET di Sabah.

"Saya difahamkan seramai 158 graduan TVET di Sabah telah berjaya ditawarkan pekerjaan dan 296 orang lagi sedang menunggu panggilan sepanjang karnival itu yang dilaksanakan selama dua hari sejak Jumaat.

"Saya juga dimaklumkan bahawa karnival kerjaya TVET yang dilaksanakan pada tahun lepas telah berjaya meningkatkan kebolehpasaran graduan di Politeknik Kota Kinabalu sebanyak 20.2 peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya TVET Sabah 2017, di Politeknik Kota Kinabalu, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Zainab Othman.

Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan daripada 28 agensi pelbagai industri pada karnival anjuran bersama Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional serta SEDIA dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah.

Yap berkata karnival itu juga bertindak sebagai medan perkongsian maklumat dengan memberi pendedahan kepada pelajar tentang senario Revolusi Industri Keempat yang diperlukan oleh dunia pekerjaan pada masa kini.

Revolusi perindustrian pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran.

Revolusi perindustrian keempat pula akan menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian.

Sehubungan itu, Yap berkata pelaksanakan karnival kerjaya itu perlu diteruskan pada masa-masa akan datang dengan sokongan dan kerjasama semua pihak industri kepada institusi TVET di Sabah yang akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam memenuhi aspirasi industri keempat negara.

-- BERNAMA