Kapal Seabed Constructor milik syarikat Eksplorasi dasar laut Ocean Infinity Limited yang diberi tanggungjawab dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 kini berada di selatan Lautan Hindi.

Kapal tersebut memulakan misi pencarian pada 15 Januari lalu dan disertai dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Seri Liow Tiong Lai dua pegawai yang dibawa mengikuti misi selama 90 hari itu akan memberikan laporan harian terus kepada Jabatan Penerbangan Awam (D-C-A) di Putrajaya.

"Kita berharap dapat mencari MH370 dalam tempoh terdekat. Misi ini adalah misi yang penting, kerana kita nak selesaikan isu MH370.

"Kita nak cari jawapan dan apabila kita temui serpihan itu maka kita boleh ada satu jawapan kepada mangsa keluarga," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau dalam pada itu berharap pihak yang diberikan tanggungjawab dapat mencari serpihan pesawat terbabit yang meliputi kawasan pencarian sepanjang 25,000 Kilometer Persegi dalam tempoh yang ditetapkan.

"Memang kita beri mereka 90 hari sahaja, mereka perlu sempurnakan pencarian dalam tempoh itu. Kalau dalam tempoh 90 hari tak dapat cari maka misi ini gagal.

"Kita harap misi ini berjaya dan mereka penuh yakin untuk mencari bangkai kapal terbang," Katanya.

Sebelum ini, Australia, China dan Malaysia yang menyelaras dan membiayai secara bersama operasi pencarian, telah menangguhkan misi pencarian MH370 pada Januari tahun lalu.

Penerbangan MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.