Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun meninggal dunia selepas dipercayai tercekik rambutan dalam kejadian yang berlaku di Kampung Belakang Masjid, Bukit Selambau pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi berkata, dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Hakim Amsyar Mohd Kasturi telah mengambil sebiji buah rambutan sebelum mengupas dan terus memasukkannya ke dalam mulut.

Ketika kejadian, bapa mangsa bersama ahli keluarga yang lain sedang mengait buah rambutan di depan rumah datuk mereka di Bukit Selambau, di sini.

Namun secara tiba-tiba, mangsa dikatakan terus berlari ke arah bapanya sambil menjerit serta memegang leher.

Bapanya kemudian cuba bertindak dengan menepuk bahagian belakang mangsa tetapi tidak berhasil.

Mangsa kemudian terus dikejarkan ke klinik kesihatan kuala ketil namun telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

Syed Basri berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan dan unsur-unsur jenayah pada badan mangsa dan pegawai perubatan di klinik terbabit telah berjaya mengeluarkan sebiji buah rambutan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

BACA JUGA: Kanak-kanak meninggal dunia tercekik gula-gula jeli

BACA JUGA: Kanak-kanak maut tercekik buah mangga