Seorang kanak kanak perempuan berusia empat tahun nyaris terperangkap sebelum dia diselamatkan ibunya dari terhidu asap yang memasuki ruang tandas ketika api marak dari longgokan sebuah premis kereta potong bersebelahan depoh membaiki kenderaan syarikat pembersihan, Alam Flora di Kepong.

Dalam kejadian kira kira jam 12.30 tengahari tadi, kira kira 20 pekerja masih berada di pejabat dan sebahagiannya ada di dalam depoh terbabit.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jinjang, Kepong dikejarkan ke tempat kejadian susulan mendapat laporan.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba Jinjang, Rosli Aris, sebaik tiba di lokasi, api marak dengan cepat sehingga memusnahkan pejabat Alam Flora di tingkat satu dan dua bangunan terbabit.


Foto Astro AWANI

Pihak bomba turut mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran apabila terdapat pili bomba yang rosak.

“Dalam masa 15 minit api dapat dikawal dan mendapat bantuan daripada Alam Flora dan juga bomba Hartamas serta bomba Gombak Selatan sehingga api padam semua.

“Masalah punca air pili bomba jauh dan yang berdekatan tidak boleh diguna, ini rosak,” kata Rosli ketika ditemui di lokasi.

Foto Astro AWANI

Dipercayai pemilik bengkel kereta potong terbabit telah berpindah ke Subang Jaya beberapa bulan lalu.

Pasukan forensik bomba kini giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.