Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak perlu bertindak menjadi jaguh mempersoalkan tentang kemudahan parkir dalam cadangan terbaharu kerajaan untuk membangunkan Kampong Baru.

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Syed Badli Syed Osman berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang menyediakan pelan pembangunan menyeluruh meliputi seluruh kampung itu meliputi bukan semata-mata projek-projek kecil berbentuk runcit seperti menyediakan bangunan parkir.

"Pelan pembangunan menyeluruh meliputi 153.46 ekar kawasan tanah Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan 0.55 ekar kawasan Sungai Baru akan dibangunkan serentak.

"Tawaran terbaharu kerajaan dengan menawarkan harga belian sebanyak RM1,000 sekaki persegi menunjukkan bahawa Kerajaan PH bersungguh-sungguh dalam membangunkan Kampong Baru.

"Sepanjang perkhidmatan Johari sebagai wakil rakyat merangkap menteri, dia gagal menampilkan sebarang pelan pembangunan yang menguntungkan penduduk," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Syed Badli, mana parkir di Kampong Baru? - Johari

BACA:
Kerajaan yakin penduduk Kampung Baru setuju dengan tawaran baharu

Pada Isnin, Johari mempersoal kerajaan untuk menyediakan kemudahan parkir yang lebih diperlukan dalam pelan pembangunan berbanding cadangan tawaran baharu yang diberikan untuk membeli tanah bagi pembangunan semula di Kampong Baru.

Tegasnya, pembangunan infrastruktur juga merupakan suatu isu di kampung Melayu di tengah bandar itu, yang didakwa 'lemah' oleh sesetengah pihak sewaktunya menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dahulu.

Dalam pada itu jelas Syed Badli, kegagalan Johari adalah manifestasi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara total dan menjadi punca penolakan rakyat di Titiwangsa.

"Jangankan kata tawaran, sebarang pelan projek runcit juga gagal dibentangkan.

"Justeru itu saya sarankan Johari membantu Kerajaan PH dalam merealisasikan impian untuk melihat kawasan penempatan Melayu bandar dibangunkan secara komprehensif.

"Johari boleh membantu dengan memberikan penerangan bahawa tawaran terbaharu ini adalah jauh lebih baik dari zaman dia berkuasa," katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad sebelum ini menawarkan RM1,000 bagi setiap kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Sebelum itu, pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi bagi pengambilan tanah tersebut, namun sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.