Setiausaha Barisan Nasional Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf mewakili kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional berhubung salah faham isu pelantikan Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Katanya, kesemua mereka sentiasa memegang prinsip demokrasi dan taat kepada Raja Perlis.

“Kita akan hantar surat kepada Raja dan wakil-wakil rakyat dah atur pertemuan dengan Tuanku demi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Cuma nak bagitau bahawa kita tetap taat setia kepada Tuanku Raja itu paling penting, tidak timbul kami nak pertikai kita ni rakyat perlis, kita sayang Tuanku, cuma kita ada pendapat mahu beritahu Tuanku dari hati ke hati.

“Kita tau, Tuanku sayang rakyat, kita pun sayang rakyat. Cuma kita tak mau Azlan Man saja,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.



Namun demikian ketika ditanya mengenai punca penolakan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis, beliau menyifatkan ia bukan perkara yang sesuai untuk dikongsi kepada pemberita.

Malah beliau turut menekankan bahawa suara majoriti merupakan perkara yang paling penting dalam demokrasi berparlimen.

Ketika ditanya mengenai status pelucutan keahlian untuk Datuk Seri Azlan Man, Zahidi menyifatkan ia bergantung kepada keputusan pihak Majlis Tertinggi UMNO.

Kemelut Menteri Besar yang sudah berlarutan hampir sebulan itu terus panas apabila BN negeri ini bercadang menghantar semula nama 11 wakil rakyat parti itu termasuk Shahidan kepada Raja Perlis untuk dipertimbang mengantikan Azlan sebagai Menteri Besar.