Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan terlebih dahulu sekiranya ada pemimpin lain yang mahu berdebat dengannya pada masa depan selepas terbaru, veteran DAP Lim Kit Siang, menarik diri dari berbuat demikian.

Bekas perdana menteri itu berkata, buat masa ini, beliau tiada sebarang perancangan untuk mengadakan debat dengan mana-mana pihak, bagi menggantikan Lim.

"Debat itu sebenarnya yang dicabar oleh pembangkang. Saya tidak ada apa-apa keputusan untuk masa akan datang. Tetapi, saya akan teruskan peranan saya.

"Dan kalau ada apa-apa, orang nak cabar saya, saya akan fikirkanlah," katanya pada satu sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di Hotel The Light, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sebagai seorang pimimpin, Lim sepatutnya lebih berani dan bukannya menarik diri dengan alasan perdebatan tersebut boleh mencetuskan pertembungan kaum, yang menurutnya, alasan yang sama sekali dilihat tidak masuk akal.

Justeru, Najib mendakwa, dari segi moral politik, Lim sudah 'kalah' teruk kerana penarikan yang dibuat beliau sedangkan cabaran untuk berdebat dimulakan beliau sendiri.

Katanya, pemimpin DAP itu menyerang dan menuduhnya sebagai pencuri, perompak dan pelbagai lagi fitnah lain, namun apabila beliau sedia untuk berdebat, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu 'lari'.

"Sebenarnya, kalau dia tuduh saya macam-macam, itulah peluang dia hendak berhujah mengapa tuduhan itu dibuat, dan bagi peluang yang adil kepada saya untuk mempertahankan diri," katanya.

Najib pada Selasa lalu menyahut cabaran Lim serta mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Lim bagaimanapun kemudiannya mengumumkan menarik diri atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau sedang menyesuaikan diri dengan sambutan luar biasa yang diterimanya, setiap kali muncul di khalayak ramai.

Najib berkata, beliau sedang memahami faktor yang mendorong kepada sambutan luar biasa yang diterimanya.

Ujarnya mungkin ada beberapa faktor, antaranya dahulu beliau terikat dengan protokol, tetapi kini beliau lebih mudah didekati dan nampaknya rakyat menyukai situasi dirinya yang lebih santai, katanya.