Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan bahawa kakitangan awam secara prinsipnya perlu menyokong kerajaan yang ada pada hari ini tanpa mengira fahaman politik.

Tetapi dalam masa yang sama, kerajaan perlu memahami dan menyelami permasalahan kakitangan awam.

“Jika ada isu atau masalah harus ada dialog dan komunikasi, supaya kedua-dua belah pihak dapat memahami apa masalahnya.

"Saya ada pengalaman sebagai pegawai kerajaan dan juga sebagai ahli politik maka saya memahami apa yang perlu dilakukan dan penambahbaikan yang perlu kita laksanakan. Kita juga perlu ada sikap terbuka dari kedua-dua belah pihak," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program 'Menggarap Sinergi Politikus Dan Penjawat Awam' di Shah Alam pada Jumaat.

Beliau memberi respon terhadap cadangan sesetengah pihak agar proses pemutihan dalam kalangan kakitangan awam dilakukan bagi memastikan kerajaan yang ada mendapat sokongan sepenuhnya daripada kakitangan awam.

Mustapa juga berpendapat perlunya mewujudkan suasana yang membolehkan kakitangan awam dan pemimpin bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang dilakukan akan dilaksanakan sebaik mungkin.