Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebagai penasihat persatuan itu berkuat kuasa semalam.

Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai apabila beliau mengadakan pertemuan dengan menteri itu di bangunan Parlimen semalam.

"KAFA merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad atas kesudian beliau menerima pelantikan sebagai penasihat persatuan kami.

"Beliau akan bertindak selaku penasihat tanpa mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lalu dan berfungsi sebagai sokongan ke atas usaha menambah baik bola sepak Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KAFA telah menubuhkan majlis penasihat bagi membantu menyumbang idea dan pengalaman untuk membangunkan pasukan The Red Warriors (TRW) selepas pelantikan pimpinan baharu persatuan itu, Julai lalu.

Majlis penasihat itu dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan dibarisi 10 individu berpengalaman dalam sukan bola sepak.

-- BERNAMA