Menteri, Menteri Besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela, tegas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin.

Menurut Kadir, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Menulis di blognya, Kadir berkata tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka yang dilantik untuk mempelajari cara melaksanakan tugas untuk memenuhi aspirasi rakyat.

"Jika ada yang masih merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab maka adalah kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka dan, jika mereka berasa perlu, mengundurkan diri secara sukarela supaya orang lain boleh dilantik menggantikan mereka," katanya.

Jelas Kadir, beliau sekadar boleh memberikan pendapat dan berharap untuk yang terbaik kerana hanya Perdana Menteri mempunyai hak dan kebijaksanaan untuk melakukan yang diperlukan.

"Beliau (Dr Mahathir) tentu lebih arif kerana beliau sendiri memberi markah 50 peratus sahaja kepada anggota kabinet beliau," katanya lagi.

Kadir berpendapat, markah yang diberikan oleh Dr Mahathir itu berdasarkan penggredan purata kerana ada yang mendapat markah lebih rendah.

"Pada fahaman saya, ini adalah markah purata. Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti," katanya.

Menurut Kadir, rakyat, terutamanya yang mengundi PH berhak untuk menilai siapa yang menurut pendapat mereka telah berjaya atau gagal memenuhi aspirasi.

Beliau berkata mereka yang memegang jawatan utama dalam perkhidmatan awam, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan juga perlu dikeluarkan jika mereka masih gagal berfungsi atau masih setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kadir berkata, sebahagian daripada mereka yang dilantik oleh BN masih berada dalam jawatan mereka dan masih setia kepada ketua terdahulu atau terus mematuhi cara lama melakukan sesuatu.