Kadi Johor Bahru Mohd Fahami Abd Samad meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata Mohd Fahami, 45, yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor dipercayai mula melakukan aktiviti selaman sekitar tengah hari tadi.

"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 1.57 tengah hari yang turut memaklumkan perkara itu kepada anggota polis di pulau tersebut.

"Pemeriksaan awal terhadap jenazah mangsa mendapati tiada kecederaan atau luka terbuka pada tubuhnya. Jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian," katanya semasa dihubungi di sini.

Azari berkata pihaknya juga sudah merakam percakapan saksi, pegawai perubatan dan jurulatih menyelam bagi membantu siasatan.

Mohd Fahami merupakan antara penyelam yang terlibat dalam Program Melarutkan Abu al-Quran ke laut yang berlangsung di Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 26 Ogos lepas.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi menyifatkan pemergian Mohd Fahami sebagai satu kehilangan besar buat warga Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah didampingi warga JAINJ dan disenangi masyarakat.

"Arwah amat disenangi dan sentiasa mendapat kerjasama daripada masyarakat ketika menjadi kadi di daerah Kulai lagi.

"Saya memang kenal rapat dengan arwah jadi saya rasa ia merupakan kehilangan yang amat besar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Tosrin, arwah juga sangat komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas serta memastikan setiap amanah dilaksanakan sebaik mungkin.

Jenazah dijadualkan disolatkan di Masjid Mutiara Rini di sini esok, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah Mount Austin untuk dikebumikan.

-- BERNAMA