Kabinet akan membuat keputusan berhubung cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan empat lebuh raya bertol lain minggu depan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, keputusan perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan kenaikan pampasan konsesi lebuh raya yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

“Saya rasa ia akan diputuskan minggu depan. Kita juga sudah memaklumkan bahawa kita telah membekukan kenaikan tol.

“Memandangkan kita sudah membeku kenaikan tol, kerajaan perlu membayar pampasan. Jadi, kita perlu membuat keputusan untuk mengelakkan pampasan terus meningkat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Jelasnya, ia merupakan langkah pertama untuk memastikan pemansuhan tol seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dapat ditunaikan.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata Kabinet telah meminta untuk membentangkan semula butiran mengenai tawaran pengambilalihan PLUS.

Katanya, jemaah menteri sudah memutuskan tiga kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MoF) terus berunding menyelesaikan isu berkenaan.

Bagaimanapun, Guan Eng enggan mengulas mengenai cadangan tiga kementerian tersebut.