Jumlah pesakit serangan jantung yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Perlis menunjukkan peningkatan kepada 115 orang setakat Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah hospital berkenaan, Dr Othman Warijo berkata jumlah itu meningkat berbanding 108 pesakit yang dimasukkan ke CCU sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata bagi tempoh 10 bulan lepas juga, sebanyak 395 pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Jantung HTF.

"Klinik Jantung HTF satu-satunya bahagian pemeriksaan dan rawatan jantung di sini yang menempatkan beberapa pakar terlatih untuk memberi rawatan selain merujuk pesakit kritikal ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah bagi mendapatkan perkhidmatan kardiologi di sana," katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2019 di sini, pada Rabu.

Dr Othman berkata, HTF turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan seperti stress test, Echocardiogram (ECHO) dan pemantauan Holter iaitu pemeriksaaan irama jantung.

Katanya sehingga Oktober lepas, seramai 2,703 pesakit menjalani ujian ECHO, stress test (339) dan pemantauan Holter (282).

-- BERNAMA