Seorang peniaga kedai runcit bersama pelanggannya ditahan dalam Op COVID-19 kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Tersusun di sini, tengah malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhammad Halim Yatim, berkata kedua-dua suspek gagal memberi penerangan munasabah apabila ditanya oleh sepasukan polis yang membuat rondaan berhampiran premis perniagaan itu jam 12.15 tengah malam.

“Pasukan polis yang meronda polis terserempak dua individu berkenaan di kedai runcit. Pelanggan itu dipercayai sedang membeli sebungkus biskut kacang ketika itu,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 64 dan 45 tahun itu direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.