Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) telah berjaya mengukuhkan perpaduan masyarakat serta memperkasa masyarakat Orang Asli dan India di negara ini.

Pelbagai strategi dan program telah dirangka oleh tiga agensi utama di bawah kementerian iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) sepanjang tempoh kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Jabatan itu dalam kenyataan berkata dalam tempoh itu, rangka kerja JPNIN telah diperhalusi bagi meningkatkan kerjasama kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi mencapai objektif meningkatkan perpaduan masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti.

Ia termasuk pelancaran Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNas) hasil kerjasama unit Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional yang antara lain bagi menjadi penanda aras dalam mengukur pencapaian tahap perpaduan dan keharmonian negara.

Selain itu, sebanyak 30 program My Rukun Negara, 10 aktiviti Modul Silang Budaya Kelab Rukun Negara dan 20 program Peningkatan Kualiti Guru telah dijalankan di bawah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional.

Kad laporan pencapaian setebal 35 muka surat itu turut menyentuh mengenai pendekatan yang dilaksanakan oleh Jakoa menerusi kerjasama strategik dan sesi libat urus bersama NGO dan profesional masyarakat Orang Asli dalam merangka hala tuju kemajuan masyarakat itu.

Secara keseluruhannya kerajaan telah menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan perhubungan di lebih 80 peratus daripada 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

Pada April lepas, Konvensyen Orang Asli Kebangsaan (KOAK) 2019 turut diadakan di Putrajaya yang dihadiri 1,069 peserta terdiri daripada pemimpin, profesional, belia dan wanita Orang Asli, ahli akademik, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), NGO Orang Asli dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Pada konvensyen itu, sebanyak 137 resolusi diterima meliputi tujuh fokus utama iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan sepertimana Janji Manifesto 38, kerajaan PH.

Sebagai usaha memartabatkan adat istiadat masyarakat Orang Asli, JAKOA menubuhkan dua Muzium yang menempatkan pelbagai maklumat sejarah dan artifak masyarakat asal itu iaitu Muzium Orang Asli Gombak di Selangor dan Muzium Orang Asli Jeli di Kelantan sebagai sumber ilmu.

Selain itu, sebanyak 204 projek tanaman komersial getah dan sawit telah dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berjumlah 154 projek dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sebanyak 50 projek.

Projek itu yang dibangunkan dengan keluasan lebih 30,000 hektar berjaya memberi faedah kepada 13,021 peserta Orang Asli dengan dividen bulanan sebanyak RM350 hingga RM1,000 sebulan bergantung kepada prestasi ladang dan harga komoditi negara.

Menyentuh mengenai Mitra, kerajaan telah memperhalusi dan memperbaiki sistem pemilihan serta saringan Pengurusan Dana Mitra bagi memastikan proses yang lebih telus dan efisien.

Bagi tujuan itu, sebanyak 600 NGO dan pakar industri dijemput untuk mengenal pasti permasalahan sebenar masyarakat akar umbi dalam merangka pelan strategik Mitra dengan RM99.3 juta peruntukan dana telah diproses melibatkan 400 NGO dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat India.

-- BERNAMA