Misteri kehilangan kucing peliharaan beberapa penduduk di Kampung Jalan Abi dekat Pauh, Perlis sejak sebulan lalu akhirnya terjawab setelah penemuan seekor ular sawa batik sepanjang empat meter di sebuah kawasan semak di situ.

Ular sawa seberat kira-kira 15 kilogram dan sepanjang hampir 5 meter itu ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Arau selepas dihubungi penduduk kampung yang terlihat kelibat reptilia berkenaan.

Menurut pegawai JPAM, Mazlina Ishak, ular sawa itu ditemui di bawah pokok mati di dalam lubang dekat kawasan semak.

Lebih mengejutkan katanya, ular itu ditemui ketika sedang mengeramkan kira-kira 30 biji telur dan sifatnya amat agresif.

Selain itu, ekoran cuaca panas ketika ini, ular sawa berkenaan menjadikan kawasan semak itu sebagai tempat berteduh untuk bertelur.

“Hari itu kebetulan (orang kampung) nampak ular tersebut selepas aduan tentang kucing peliharaan yang telah dimakannya.

“Setelah diperiksa di tempatnya, kami dapati ular itu tidak pergi ke mana-mana dan apabila kami (tangkap) dan bawa keluar ular itu barulah kami tahu bahawa ia sedang mengeramkan telur yang ada kira-kira 30 biji semuanya,” kata Mazlina.

Ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut manakala telurnya diserahkan kepada Taman Ular Batu Pahat, Perlis.

Katanya, sehingga April lalu sebanyak 338 kes berkaitan ular dilaporkan di Arau dan Padang Besar dengan antara jenis ular yang ditangkap adalah ular tedung, ular sawa burung dan ular sawa batik.