Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa jawapan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbunyi “Jho Low tidak mempunyai keterlibatan dalam 1MDB" disediakan sendiri oleh ahli perniagaan dalam buruan itu.

Saksi kelapan yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, memberitahu mahkamah perkara itu ketika sesi soal balas yang dilakukan peguambela Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah.

Apabila disoal sama ada beliau memliki soalan-soalan yang kerap ditanya (FAQ) itu, Amhari menjelaskan, ia boleh menjadi antara yang disita oleh SPRM.

Amhari berkata, Najib diberi taklimat mengenai hal itu oleh Allahyarham Azlin Alias sebelum kematiannya pada 4 April 2015.

Mahkamah juga diberitahu Jho Low rapat dengan Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib kerana sering dilihat dalam majlis-majlis peribadi mereka yang sangat eksklusif.

Shafee: Apa yang menyebabkan kamu membuat kesimpulan bahawa Jho Low dan Rosmah rapat?

Amhari: Dari segi majlis. Sebahagian daripada majlis-majlis ini, saya tidak mahu menyamaratakan kehidupan peribadi seseorang, tetapi untuk beberapa majlis peribadi yang dianjurkan Najib dan Rosmah pada tahun-tahun awal, saya akan lihat Low di sana juga. Ia sangat eksklusif.

Shafee: Berapa ramai orang yang menghadiri majlis tersebut?

Amhari: Sekitar 100 orang.

Saksi itu menambah beliau percaya Low dan Rosmah rapat ketika mendengar suaranya dalam perbualan telefon.

Ini berlaku ketika beliau dan Allahyarham Azlin berada dalam pertemuan dengan Low di Hotel Prince di Kuala Lumpur.

Hari ini merupakan hari keenam perbicaraan kes 1MDB melbatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal yang mengubah landskap politik negara itu dibicarakan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.


Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

BACA: 1MDB: Amhari nafi bantu Jho Low dalam perjanjian Iskandar Malaysia

B
ACA: Perbicaraan kes 1MDB: Amhari akui buat pinjaman AS$200,000 daripada Jho Low