Pasukan pembelaan kes penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Selasa menggesa ahli perniagaan yang menjadi buruan polis, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, segera dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan bagi proses bicara kes tersebut.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ia ekoran keterangan saksi kesembilan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang dikatakan bersifat khabar angin.

Jelas Shafee, buat masa ini Jho Low tidak berada di mahkamah untuk membuktikan kenyataan bekas CEO 1MDB itu dan kenyataan Shahrol sepatutnya tidak seharusnya dikeluarkan.

"Apabila melibatkan Jho Low, asas prinsip keadilan tidak ada di sini kerana saya tidak dapat menyoal Jho Low mengenai apa yang Shahrol dakwa dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan itu," kata Shafee.

Bagaimanapun perkara itu dianggap sebaliknya oleh pasukan pendakwaan yang diketuai peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang berpendapat apa yang dikatakan oleh Jho Low terhadap saksi kesembilan itu tidak boleh dianggap sebagai khabar angin dan ia sangat penting.

"Konteks di mana kenyataan itu dibuat, pertuduhan terhadap tertuduh (Najib) dan pertuduhan adalah bahawa dia menggunakan jawatan dan kedudukannya.

"Dalam konteks itu, pembelaannya (Najib) seakan menunjukkan dia dikelirukan oleh Jho Low. Maka pihak pendakwaan berhak menunjukkan dia tidak atau tidak dapat dikelirukan oleh Jho Low.

"Apa yang dikatakan Jho Low kepada saksi tertentu (Shahrol) sangat penting," kata Sri Ram.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.