Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anaknya Riza Aziz mengetahui dimanakah lokasi wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka bagaimanapun tidak mahu memberitahu di manakah duit berkenaan berada.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha memburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Kita telah lama bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS, ada pegawai kita melawat mereka dan sebaliknya. Jika ada keperluan kita akan mendakwa dia (Jho Low) kita akan lakukan.

"Tetapi ketika ini dakwaan adalah berbeza terhadap Jho Low di AS mengenai pengubahan wang haram manakala masalah di Malaysia ialah duit 1MDB telah hilang. Saya yakin bahawa Jho Low, Najib, Rosmah dan Reza Aziz tahu dimana duit itu, tetapi tidak memberitahu kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir turut menyatakan kerajaan tidak akan membenarkan sesiapa sahaja untuk menubuhkan syarikat menjangkaui peraturan kerajaan bagi membuat pinjaman seperti dilakukan Najib.

"Kita tidak akan membenarkan operasi seperti itu dilaksanakan, apa yang Najib buat ialah membuat syarikat bagi meminjam RM42 juta," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan PH akan menganjurkan Majlis Makan Malam bagi mengumpul dana perbelanjaan politik.

Makan malam itu akan diadakan pada 9 Disember ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Terdapat masalah dalaman di dalam PH, antaranya parti politik perlu dana tetapi sekarang orang takut nak bagi duit sebab dikatakan rasuah dan sebagainya. Tetapi jika tidak sukar untuk uruskan PH.

"Pemberi dana tidak akan diberi layanan istimewa dan sebarang sumbangan tidak akan mempengaruhi urusan mereka dengan kerajaan dan sebagainya," jelas beliau lagi.