Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah membuat pendakwaan tambahan terhadap Jho Low berhubung kes 1MDB pagi tadi.

Ia dibuat di sebuah mahkamah AS membabitkan isu menggunakan wang 1MDB untuk kempen pilihanraya Presiden Barack Obama pada 2012.

Menurut dakwaan yang telah difailkan di Washington semalam, Jho Low telah memindahkan kira-kira RM90 juta (AS$21.6 juta) kepada Pras Michel, bekas penyanyi rap kumpulan Fugees.

Pras Michel kemudiannya dituduh oleh DOJ menggunakan wang RM90 juta ini dan mengagihkan kira-kira RM3.5 juta (AS$865,000) kepada 20 individu lain.

Mereka, kemudiannya 'menderma' wang tunai tersebut kepada pihak penganjur pemilihan Presiden Barack Obama, tanpa memberitahu pihak berkuasa yang wang ini datang dari luar negara AS.

Undang-undang AS menghalang wang yang berasal dari luar negara untuk digunakan sebagai wang kempen pilihanraya presiden.

DOJ turut mendakwa bahawa Pras Michel telah menggunakan sebanyak RM4.1 juta (AS$1 juta) dan diberikan kepada jawatankuasa pilihan raya bebas.

Tuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu menunjukkan usaha yang agresif oleh "pembiaya" Malaysia untuk mendapat pengaruh di Amerika Syarikat.

Nama Barack Obama tidak disebut dalam pertuduhan mahkamah semalam yang mana DOJ hanya menggunakan perkataan 'Calon A' di dalam dokumen rasmi itu.