Jepun masih optimistik bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan diluluskan dan diterima pakai oleh 11 negara ahlinya, walaupun selepas penarikan diri Amerika Syarikat.

Perkara itu dinyatakan Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa selepas bertemu Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Difahamkan ini kali ketiga Miyagawa bertemu Daim sejak minggu lalu.

“11 negara sudah persetujui TPPA, jadi harapan saya masih tinggi bahawa perjanjian liberalisasi perdagangan dan pelaburan ini masih ada masa depan yang cerah,” katanya apabila ditemui wartawan di Menara Ilham di sini hari ini.

Rundingan terma TPPA mula berjalan sejak 2008 sebelum perjanjian itu mula didraf pada 2015 dan seterusnya ditandatangani 12 negara pada 2016.

12 negara tersebut adalah Brunei, Chile, New Zealand, Singapura, Australia, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Selepas ditandatangani, TPPA perlu melalui proses kelulusan dari Parlimen semua 12 negara ahli sebelum ia berkuat kuasa.

Bagaimanapun, sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari 2017, Donald Trump mengotakan janji kempennya untuk menarik Amerika keluar daripada perjanjian tersebut.



Penarikan diri Amerika yang mewakili 24.5 peratus daripada output Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia itu menimbulkan keraguan sama ada perjanjian itu akan diteruskan.

Malaysia dan beberapa negara Asia Pasifik selepas itu cenderung untuk merunding Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selaku perjanjian perdagangan alternatif kepada TPPA.

Berbeza dengan TPPA, RCEP melibatkan China, ekonomi kedua terbesar dunia dan seteru perdagangan Amerika.

“RCEP tidak akan menggantikan TPPA, kedua-dua perjanjian ini penting,” kata Miyagawa sambil menambah Malaysia dan Jepun sudah mempunyai perjanjian perdagangan bilateral.

Selepas penarikan Amerika, 11 negara ahli TPPA juga mula merunding Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perjanjian alternatif serpihan TPPA.

CPTPP memerlukan kelulusan Parlimen sekurang-kurangnya 6 dari 11 negara ahli untuk ia berkuat kuasa.

Jepun berharap ini bakal dicapaii pada 2019.

“TPPA adalah salah satu mekanisme kerjasama serantau yang amat penting dan Malaysia sudah pun tandatanganinya dahulu.

“Kami tidak tahu bila Malaysia akan sahkan pula,” kata Miyagawa.