Jumlah kerugian akibat jenayah siber dan multimedia di negara ini telah mencecah lebih RM400 juta, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Rosli Ab Rahman.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi 9,686 kes bermula 1 Januari hingga 31 Oktober lalu dan ia menunjukkan tahap membimbangkan serta perlu ditangani segera.

"Jika dibandingkan jumlah kes tahun ini juga meningkat iaitu daripada 9,442 kes pada 2018 kepada 9,686 kes pada tahun ini. Bagi 'Macau Scam' sahaja purata kes penipuan antara 20 dan 30 kes di seluruh negara setiap hari.

"Negeri yang mencatat kes jenayah siber tertinggi ialah Selangor dengan 1,897 kes diikuti Johor (1,374 kes), Kuala Lumpur (1,264 kes) dan Negeri Sembilan (784 kes)," katanya kepada pemberita selepas program Townhall Discussion di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini.

Seramai 1,000 peserta termasuk pelajar serta komuniti setempat menyertai program selama lebih dua jam itu yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Tambah Rosli, meskipun banyak amaran dan program kesedaran dilaksanakan di pelbagai peringkat dan kumpulan sasar, malangnya masih ramai yang terpedaya dengan kegiatan penipuan termasuklah Macau Scam, Love Scam dan e-dagang hingga melibatkan jumlah kerugian yang besar.

Sementara itu Naib Presiden MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata program townhall tersebut telah diadakan sejak 2016, bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang isu-isu jenayah siber yang terkini di Malaysia.

"Kami telah memperuntukkan sebanyak RM20,000 kepada semua MCPF negeri untuk menganjurkan townhall discussion pada tahun ini.

"Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya jenayah siber dan pada masa sama mendengar pandangan atau luahan orang ramai bagi menangani kes penipuan yang semakin berleluasa sehingga kini," katanya.

-- BERNAMA