Jangan terlalu berharap untuk lihat harga barang turun susulan penurunan harga minyak, kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Ini kerana katanya, walaupun harga minyak turun tidak semestinya harga barang akan turun sama berikutan ia (harga minyak) tidak akan kekal untuk tempoh yang lama.

Beliau juga menyamakan keadaan yang pernah berlaku sebelum ini dan menekankan bahawa ramalan harga barang akan turun selalunya sukar untuk berlaku kerana ketidakstabilan harga minyak.

“Pengalaman dulu-dulu jelas tidak menunjukkan harga minyak turun dan harga barang juga turun, walaupun sepatutnya apabila harga minyak turun aspek-aspek yang berkaitan dengan harga minyak itu sepatutnya kena turun juga.

“Oleh kerana harga minyak ini tidak stabil, sekejap naik sekejap turun. Katalah harga barang turun kerana harga minyak ini berkaitan dengan kos pengangkutan, tetapi bila harga minyak naik, harga nak kena naik pula, maka ia akan menjadi perkara yang menyukarkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

FOMCA bagaimanapun berharap agar peniaga dapat memberikan kerjasama dengan menurunkan harga barangan sekiranya kos pengangkutan turun selaras dengan penurunan harga minyak sekali gus bersama-sama membantu mengurangkan beban pengguna.