Tidak dinafikan, sistem pengangkutan awam adalah antara sektor yang terjejas susulan penularan koronavirus (COVID-19).

Ia berikutan sejak beberapa minggu lalu, ada pengguna yang lebih selesa memandu sendiri ke tempat kerja kerana bimbang dijangkiti oleh pembawa simptom-simptom virus berkenaan di tempat awam.

Namun, bagi sesetengah pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam sepenuhnya, mereka tiada pilihan dan hanya meneruskan urusan harian seperti biasa, namun dalam keadaan waspada.

Menyedari kebimbangan pengguna terhadap COVID-19, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) terus meningkatkan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan fasiliti disediakan sentiasa dalam keadaan bersih sekali gus mengelak penularan virus berkenaan.

Kerja pembersihan dilakukan di tempat paling kerap dikunjungi atau disentuh penumpang

Menurut Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel, Mohd Ariffin Idris kerja pembersihan dilakukan di tempat paling kerap dikunjungi atau disentuh penumpang termasuk eskalator, lif, kaunter tiket, laluan penumpang serta dalam tren.

Pada masa sama, cecair pembersih (sanitiser) turut diletakkan di setiap platform untuk kegunaan orang ramai.

Dengan langkah pembersihan kerap berkenaan, orang ramai disaran terus yakin untuk menggunakan pengangkutan awam.

"Jangan takut untuk menggunakan pengangkutan awam kerana kita telah mengambil segala pre-caution, tindakan pembersihan dan juga segala panduan KKM. Malah informasi tentang COVID-19 juga kita paparkan di setiap stesen di platform dan skrin.

"Selain pembersihan tamat operasi di waktu malam, kerja pembersihan turut dijalankan setiap kali tren berhenti walaupun dalam tempoh 2 ke 3 minit," katanya semasa ditemui media di KL Sentral.

Kerja pembersihan turut melibatkan pengangkutan bas

Selain itu, Prasarana juga akan melakukan saringan kesihatan ke atas semua kakitangan sebelum memulakan tugas.

"Kita periksa suhu badan mereka sebelum memulakan tugas termasuk memastikan mereka pakai topeng muka terutama di tempat awam dan untuk staf kita sediakan sanitizer di pejabat dan di mana-mana diperlukan," katanya lagi.

Bagaimanapun, penumpang juga diingatkan mengambil langkah pencegahan termasuk memakai topeng muka semasa berada di stesen dan dalam tren.

Ketika ini, pihaknya mengakui berlaku pengurangan penumpang antara 5 hingga 8 peratus susulan penularan COVID-19.

"Namun saya yakin melalui kerja-kerja pembersihan dan usaha mempromosikan garis panduan ditetapkan KKM terhadap COVID-19, penumpang akan 100 peratus yakin untuk menggunakan pengangkutan awam," tambahnya.