Grab Malaysia (Grab) meminta orang ramai supaya tidak berkongsi di media sosial data peribadi pemandu wanita yang mendakwa diganggu secara fizikal oleh seorang penumpang lelaki semalam.

Grab, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan syarikat telah membantu pihak berkuasa dari awal lagi dan akan terus berbuat demikian bagi memastikan hak mangsa dilindungi.

"Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Grab, kami minta semua orang supaya tidak berkongsi data peribadinya di ruang awam seperti di media sosial atau berkongsi spekulasi dan khabar angin mengenai perkara itu.

"Kami akan memastikan tindakan diambil terhadap pelaku," katanya.

BACA: Pemandu Grab wanita mangsa gangguan seksual lelaki warga asing

BACA: Pemandu Grab dijumpai mati dalam kereta di Kepayan

Semalam, media melaporkan pemandu wanita Grab mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang penumpang lelaki yang bersenjatakan pisau berhampiran Kondominium KOI Prima di Taman Mas, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi.

Menurut Grab, bagi syarikat, keselamatan pemandu sama pentingnya sebagaimana penumpang dan ancaman kepada keselamatan mereka bukan suatu yang dipandang ringan.

"Sekiranya sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara ini, teruslah berjumpa pihak berkuasa. Pada masa yang sama, kami ingin memberi jaminan bahawa kami akan terus meningkatkan ciri keselamatan untuk seluruh komuniti kami," katanya dalam kenyataan itu. -- Bernama