Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu, hari ini tampil sekali lagi dalam satu video dengan imej berbeza.

Video berdurasi dua minit 52 saat itu memaparkan Jamal berlatarbelakangkan dinding, memberi amanat itu di meja sambil duduk di kerusi dan mengenakan baju T warna biru serta kopiah putih di kepala.

Jamal dalam kenyataannya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Sungai Besar dan kepimpinan UMNO cawangan empat peringkat termasuk kepimpinan terdahulu.

Jamal dalam amanatnya itu turut memberitahu dia kini berada dalam keadaan sihat sejahtera.

"Saya ingin memaklumkan apa yang berlaku ini sebenarnya dicipta oleh mereka untuk mengaibkan dan membalas dendam terhadap saya sebelum ini.

"Maklumlah, sebelum ini saya mengeluarkan kenyataan-kenyataan pedas dan berbisa... tentunya, mereka sakit hati mendengarnya, tetapi bagi saya itu adalah pendapat yang perlu saya suarakan sebagai seorang pemimpin, walaupun pemimpin di peringkat bahagian," katanya.

Jamal yang turut menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda Umno dan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, beliau yakin UMNO akan terus bergerak maju ke hadapan.

"Mustahaknya ialah mesej yang ingin saya sampaikan hari ini adalah penyatupaduan UMNO Bahagian Sungai Besar kerana di dalam parti ini wujud sistem demokrasi.

"Kita mengalu-alukan sistem demokrasi, tetapi di dalam kita memegang dan menyuburkan demokrasi di dalam UMNO itu sendiri, janganlah sampai kita berpecah belah," katanya.

Katanya, beliau akan terus memberikan khidmat dan mencurahkan bakti kepada UMNO Bahagian itu.

"Permasalahan yang saya hadapi ini tidak lama dan yakin dalam waktu yang terdekat ini, saya akan selesaikan kes-kes yang dicipta untuk saya ini," katanya.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.