Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini, sebentar tadi.

Jamal, 48 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Mengikut pertuduhan pertama, Jamal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Pua Jun Jie, 19, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 7 Sungai Leman, Sekinchan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3.15 petang pada 9 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat, manakala

Jamal diwakili tiga peguamnya iaitu, Datuk Mohd Imran Tamrin, Datuk Sulaiman Ismail dan Muhammad Nor Tamrin.

Mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM1, 800 terhadap pertuduhan terbabit dan menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Jamal turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuang pita pelekat sitaan dan menanggalkan notis perintah penutupan yang dipasang Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Tindakan itu dilakukan pada jam 3 petang di Sekinchan Fisherman Village Hotel and Resort, Jalan Pantai Redang, Sekinchan, pada 23 Disember 2016.

Jamal didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43 Undang-Undang Kecil MDSB.

Pertuduhan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM2, 000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang berterusan dilakukan setelah sabitan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM200 bagi setiap hari kesalahan berterusan.