Sudah menjadi trend zaman sekarang yang mana setiap graduan mahukan kelainan pada hari bersejarah dalam hidup mereka iaitu pada hari konvokesyen.

Jika dahulu, para graduan hanya bergambar sendiri bersama keluarga di skrin dengan membawa skrol ijazah masing-masing. Namun sejak akhir-akhir ini muncul pelbagai idea yang amat unik dan kreatif bagi meraikan hari bersejarah mereka itu.

Bagi mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan menerima ijazah pada 18 hingga 20 November ini, satu tempat baharu diterokai untuk mereka membuat penggambaran dan merakamkan nostalgia serta detik manis sempena konvokesyen iaitu di Menara Jam Matahari atau Jam Purba yang telah siap dibina di UMP Pekan.

Menara Jam Matahari telah dibina mengikut spesifikasi jam zaman purba iaitu menggunakan cahaya matahari untuk menunjukkan angka penunjuk waktu.

Ianya bukan sahaja sebagai penunjuk waktu secara analog dan digital malahan struktur yang dibentuk menghasilkan bayang sebagai jam Matahari.

Pesta Konvo UMP yang dikenali sebagai eXpoconvo 2017 akan berlangsung pada 16-20 November ini di Dataran Canseleri UMP Kampus Gambang.

Bagi Muhammad Hanif Umar Baki dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli yang bakal menerima ijazah bersama kakaknya Siti Fatimah Binti Umar Baki dari Fakulti Pengurusan Industri berhasrat menjadikan menara jam itu sebagai salah satu tempat penggambaran konvokesyen memandangkan ianya agak unik.

"UMP adalah satu-satunya universiti yang memiliki jam matahari tersebut," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan sepanjang minggu eXpoconvo selain para graduan juga berpeluang bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan mereka semasa menuntut sebelum meneruskan perjuangan masing-masing di alam pekerjaan.

________________________________________________________________________________________

* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UMP Nazmi Nasir, Amirul Aiman dan Ahmad Taqiyuddin dan disunting oleh Mimi Rabita PNC.

**AWANI Rangers UMP adalah hasil inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Pahang (UMP)