Permodalan Nasional Bhd (PNB) melantik Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan itu, berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Perkara ini disahkan oleh Presiden dan CEO PNB sekarang, Datuk Abdul Rahman Ahmad melalui sebuah sidang taklimat khas yang diadakan di ibu pejabat PNB petang Rabu.

Menurut Rahman, Yayasan Pelaburan Bumiputra dan Suruhanjaya Sekuriti telah mengadakan pertemuan pada awal hari ini dan bersetuju untuk melantik Jalil Abdul Rasheed (CEO Invesco) sebagai CEO PNB baharu.

Sementara itu, Rahman juga mengesahkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd (Sime Darby) berkuat kuasa 31 Oktober ini.

Kontrak Rahman di PNB akan tamat pada 20 September ini.

SIAPA JALIL?

Jalil Rasheed merupakan seorang warga Malaysia dan telah berkhidmat di beberapa institusi kewangan di dalam dan di luar negara.

Beliau kini menjawat jawatan CEO (Asia Tenggara) bagi syarikat pelaburan Invesco dan sedang menetap di Singapura. Jalil dijangka akan meletakkan jawatan beliau di Invesco dalam minggu ini.

Jalil memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan & Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom.

Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai pengurus pelaburan dan seterusnya ketua ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada tahun 2010.

Jalil kemudiannya meninggalkan Aberdeen untuk menerajui syarikat Invesco sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Selatan) pada tahun 2013, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga kini.

Jalil sebelum ini pernah diwawancara oleh Astro AWANI, tentang beberapa perkara, termasuk Setahun Memasuki Era Malaysia Baharu

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz merakamkan penghargaan beliau kepada Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan tersebut.

“Bagi pihak Ahli-Ahli Lembaga Pengarah PNB, serta pengurusan dan semua rakan sekerja, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Abdul Rahman atas segala sumbangan beliau kepada PNB dan syarikat-syarikat dalam kumpulan, sepanjang tempoh tiga tahun beliau di sini. Kami berhasrat untuk terus bekerja bersama dengan beliau dalam peranan yang baharu di Sime Darby Berhad,” kata Zeti.


Jalil memberi pendapat tentang penggabungan Axiata dan Telenor ketika diwawancara oleh Astro AWANI