Sekiranya krisis politik di negara ini masih berlarutan, jalan terakhir yang paling relevan ialah kembalikan semula kuasa memilih kepada rakyat, tegas penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani

Namun begitu, tegas beliau, kemungkinan besar ia tidak akan sampai ke tahap sedemikian kerana pergolakan itu masih dilihat tidak memberi ketidakstabilan kepada pentadbiran negara.

Jelas beliau lagi, apa yang penting ialah kerajaan sedia ada iaitu Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah memberi tumpuan kepada isu pandemik COVID-19 serta membaiki semula ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak itu.

“Cuma saya rasa belum sampai lagi ke tempoh (pembubaran Dewan Rakyat) itu. Maksudnya ada urusan lain yang saya rasa lebih baik untuk dilaksanakan dan dalam masa sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun sedang berusaha untuk memantapkan kerajaan.

“Dalam konteks ini mungkin saya rasa, peluang perlu harus diberi kepada PN. Sekiranya mereka gagal, barulah kita fikirkan alternatif yang lain dan mungkin beri mandat semula kepada rakyat untuk diadakan pilihan raya umum,” katanya lagi.

Krisis politik yang dilihat seakan-akan reda sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac lalu kembali hangat apabila Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai majoriti kerusi yang cukup untuk mendapatkan kembali tampuk pentadbiran negara.

Selain itu, krisis dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menjadi perhatian apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas beliau masih Pengerusi yang sah.

Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menganggap tindakan Muhyiddin memisahkan Bersatu dari PH sebagai bercanggah dengan Perlembagaan parti yang diasaskan beliau.