Syarikat Jakel Trading Sdn Bhd menjelaskan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sumber dana bagi urus niaga melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Syarikat tekstil terkemuka itu menjelaskan bahawa urusniaga yang dijalankan dengan bekas perdana menteri itu adalah bagi kegunaan program amal.

"Ingin kami jelaskan bahawa urus niaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima dari mantan perdana menteri dan juga dari PMO tersebut untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan oleh beliau dan PMO," kata Jakel dalam kenyataan media hari ini.

Jakel membuat kenyataan itu selepas nama syarikat mereka turut tersenarai dalam 41 entiti yang berdepan pemfailan saman pelucutan hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima dana daripada akaun peribadi Najib.

BACA: UMNO paling banyak terima dana 1MDB - KP SPRM

Ketua Pesuruhajaya SPRM Latheefa Koya dilaporkan sebagai berkata suruhanjaya itu telah memfailkan permohonan pelucutan hak sivil terhadap 41 individu dan entiti mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, untuk mendapatkan semula RM270 juta wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian ke individu dan entiti berkenaan, termasuk Jakel.

Dalam kenyataan itu, Jakel memberitahu pesanan yang dibuat untuk program amal itu adalah untuk kegunaan imam, pelajar tahfiz dan lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia, serta bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014.

Menurut Jakel, pihak mereka menerima bayaran tanpa syak wasangka dan menegaskan bahawa transaksi itu berlaku sebelum pihak mereka mengetahui sebarang isu berkaitan dengan 1MDB.

"Pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.

"Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah.

"Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami," katanya.

BACA: Kenyataan Jakel mengenai dakwaan terima wang 1MDB

Jakel juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membersihkan nama baik mereka.

"Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang.

"Jakel komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan kami ingin menekankan bahawa kami amat sedar bahawa tidak ada apa-apa kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah dan tidak beretika," kata syarikat itu lagi.

Sementara itu, anak syarikat Naza Group, Naza Quest Sdn Bhd yang turut disenaraikan dalam pelucutan hak sivil itu oleh SPRM, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberikan bantuan yang perlu berhubung perkara itu.

Naza Quest ialah pengedar tunggal untuk kereta Chevrolet di bawah perjanjian dengan General Motors (GM) sehingga 14 Nov, 2018, apabila ia menghentikan operasi pengedaran kereta Chevrolet.

Permohonan pelucutan hak sivil SPRM yang difailkan terhadap Naza Quest adalah berkaitan dua transaksi iaitu pembelian dua buah kereta Chevrolet bernilai RM105,000 (pada 17 Disember 2012) dan untuk pembelian dua lagi kereta Chevrolet bagi RM164,662 (9 Dis, 2013 ).

Pada Jumaat, SPRM mengumumkan tindakan saman sivil melucutkan hak 41 individu, parti politik, pertubuhan dan syarikat ke atas dana berjumlah keseluruhan RM270 juta.

Bagaimanapun, Najib menyifatkan tindakan sivil yang dilakukan SPRM bermotifkan politik untuk melemahkan parti pembangkang.