Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada pembayaran RM305 juta kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian tersebut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut sumber, pasukan penyiasat kini sedang merakam percakapan saksi-saksi dalam syarikat-syarikat yang dilantik itu bagi mengenal pasti proses pembayaran untuk kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Kata sumber itu lagi, menerusi penelitian dokumen-dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Kita juga perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.”

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang membuat siasatan secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.

BACA: Terowong dasar laut Pulau-Pinang: SPRM ambil keterangan 12 saksi

Menurut beliau, ini kerana ia melibatkan aspek-aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, justeru pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes tersebut.

Azam meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, SPRM juga telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan .