Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang bekas pemimpin Pas yang didakwa menerima dan menyalahgunakan wang daripada kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).

Sumber SPRM mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun beliau berkata SPRM masih terus menjalankan siasatan berhubung dakwaan beberapa pemimpin Pas yang menerima wang daripada sumber yang sama.

“Siasatan masih belum dihentikan walaupun pada 12 Februari lalu sebuah portal berita melaporkan dakwaan mengenai wang RM90 juta dimasukkan dari dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun bank Pas tidak benar.

“Turut disiasat merupakan beberapa pemimpin PAS yang menerima wang sejumlah RM2.5 juta daripada kerajaan BN dahulu untuk tujuan politik Pas,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, SPRM telah memulakan siasatan sejak 6 Februari lalu dan telah mengambil keterangan daripada anggota jawatankuasa pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.

Badan itu juga mengambil keterangan peguam Ambiga Sreenevasan, yang dinamakan sebagai sumber kepada artikel berkenaan perkara itu yang disiarkan laman Sarawak Report pada April 2016.

Siasatan dimulakan susulan laporan terhadap SPRM, selepas Presiden Pas Abdul Hadi Awang menyelesaikan samannya terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.