Percanggahan laporan berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji antara firma Ernst & Young (EY) dan PricewatercooperHouse (PwC) memerlukan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan secepat mungkin, kata Menteri Kewangan Bayangan, Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, suruhanjaya itu amat diperlukan memandangkan isu yang melibatkan kewangan Tabung Haji merupakan satu perkara sensitif, khususnya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Ada dua laporan audit yang bercanggah. Satu yang disediakan oleh EY dan disahkan Jabatan Audit Negara yang diguna oleh pengurusan lama. Satu lagi yang disediakan oleh PwC yang dilantik oleh Tabung Haji selepas 9 Mei.

“Ada tuduhan bahawa laporan EY tidak tepat dan menggunakan creative accounting supaya dapat dibayar dividen. Padahal laporan PwC sebut kedudukan kewangan sebenar tidak mampu untuk membayar dividen,” katanya menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Kenyataan Khairy juga selari dengan saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar diwujudkan RCI secepat mungkin.


“Hanya dengan cara ini dapat kita bertemu kepastian dan kebenaran yang semakin tenggelam dalam kebisingan suara tuduhan di media sosial akibat pendedahan ini.

“Siasatan boleh mengambil kira semua fakta termasuk amaran yang dikeluarkan oleh BNM beberapa tahun dahulu. Saya harap kita dapat merujuk perkara ini kepada siasatan bebas yang boleh melapor semula ke Parlimen dalam tempoh tiga bulan,” katanya lagi.