Penulis blog Raja Petra Kamaruddin memohon maaf kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan masyarakat Sikh mengenai kenyataannya berkaitan pemakaian serban.

Katanya, beliau dimaklumkan serban Sikh sangat dihormati dan mereka kurang senang jika ada memperlekeh.

"Saya boleh berhujah bahawa kenyataan dibuat bukan penghinaan kepada kepercayaan masyarakat Sikh atau ia bukanlah niat saya.

"Saya juga memohon maaf kepada Amar kerana walaupun saya tidak bersetuju dengannya, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina agamanya," katanya dalam satu kenyataan di blog, pada Isnin.

Amar Singh sebelum ini mengecam kenyataan Raja Petra mengenai pemakaian serban olehnya dan mendakwa tindakan itu bersifat perkauman.

Amar Singh menerusi kenyataan di akaun Facebook pada Isnin mengakui terkejut dengan penulisan Raja Petra bertajuk Pasti serban Amar Singh terlalu ketat yang dimuat naik di blog miliknya pada Jumaat lalu.

Sebelum perbalahan itu berlarutan, Amar mencabar Raja Petra membuat laporan polis berhubung dakwaannya tentang wang tunai RM43.3 juta lesap daripada keseluruhan nilai rampasan berkaitan siasatan skandal 1MDB.

Jelasnya dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tidak mahu ambil peduli dakwaan penulis seperti Raja Petra.

Mengulas lanjut, Raja Petra turut memohon maaf kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta peguam, Amarjit Sidhu.

"Mereka berdua, selain Manjeet Singh Dhillon dan mendiang Karpal Singh, menjadi peguam bela saya dalam pelbagai perbicaraan dan tahan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) 10 tahun lalu.

"Mereka juga banyak menolong saya untuk tinggal di United Kingdom selepas saya meninggalkan Malaysia pada 2009. Mereka lakukan semua itu tanpa diminta. Saya akan selamanya terhutang budi dengan Gobind, Amarjit, Manjeet dan mendiang Karpal," katanya.