Isu derma RM2.6 bilion dan SRC International tidak boleh dibahas di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan hari ini berkata, mengikut Peraturan 23 (1), sebarang isu yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh dibahaskan di Parlimen.

"Kerajaan tidak boleh lagi menjawab soalan berkaitan isu tersebut di Parlimen disebabkan ia tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 23 (1) (g) yang menyatakan 'sesuatu pertanyaan tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus menggelengcungkan perkara yang sedang dibicarakan oleh Mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara dalam pertimbangan mahkamah (sub judice)", katanya di sini.

Bagaimanapun, kerajaan sentiasa komited untuk memberikan jawapan mengenai sebarang isu yang melibatkan akauntabiliti termasuk isu RM2.6 bilion dan SRC International.

Beliau berkata demikian bagi merujuk satu tindakan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) oleh Badan Peguam Malaysia terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 14 Mac 2016.

Presiden Badan Peguam, Steven Thiru berkata dalam permohonan itu, Badan Peguam mahu agar keputusan Apandi Ali yang membersihkan Najib daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu diketepikan.