Kementerian Pembangunan Usahawan akan membawa isu penamatan kontrak pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menterinya Mohd Redzuan Md Yusof berkata pihaknya mengambil maklum perkara tersebut yang menjadi rungutan di kalangan pengusaha memandangkan kontrak yang ditandatangani bersama kerajaan lama sepatutnya tamat pada 2020.

"Walaupun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, saya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan merasakan suara tidak puas hati para pengusaha wajar dibawa ke atas," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam dan Sesi Dialog bersama Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKN) di sini malam tadi.

Bagaimanapun katanya pihaknya sentiasa mengalu-alukan para pengusaha untuk memberi idea dan alternatif yang sesuai untuk dikemukakan kepada kerajaan supaya segala aset yang dimiliki mereka dapat dimanfaatkan.

"PLKN dan Biro Tata Negara (BTN) bukanlah dibubarkan sewenang-wenangnya oleh kerajaan tapi kerajaan kita hari ini sedang mencari program yang sesuai dan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Mohd Redzuan katanya beliau berharap perkara tersebut akan dapat diselesaikan dalam situasi menang-menang bagi semua pihak.

Menteri tersebut berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan mengenai langkah penstrukturan semula PLKN dan BTN

"Saya juga sebelum ini pernah menyarankan agar kedua-dua program ini disatukan dalam satu bentuk program pembangunan modal insan yang baharu," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini memaklumkan, kerajaan telah memansuhkan PLKN dan BTN serta-merta dan bakal digantikan dengan program baharu.

Dalam pada itu, Presiden PPKN Datuk Seri Kamil Ibrahim memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat penamatan kontrak pengurusan kem PLKN daripada Kementerian Pertahanan pada Selasa.

Katanya, keputusan drastik itu bakal memberi kesan kepada para pengusaha di 79 kem PLKN sekali gus bakal menjejaskan pendapatan kira-kira 3,000 pekerja.

"Sepatutnya perjanjian kami bersama kerajaan dalam menguruskan kem ini pada 2020, tetapi kami telah menerima surat penamatan hari ini (Selasa).

"Bukan sahaja menjejaskan pendapatan, tetapi kami terpaksa menanggung bebanan hutang dengan bank ekoran pinjaman dibuat bagi menguruskan perniagaan ini," katanya.

-- BERNAMA