Isu pelantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai penasihat menteri besar yang dipertikaikan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Otai Reformis sebelum ini, telah selesai secara baik.

Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata anggota NGO berkenaan telah bertemu dengan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu kira-kira 12.49 tengah hari tadi di pejabat menteri besar bagi mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenai pelantikan bekas exco kerajaan negeri itu.

"Otai Reformis telah berjumpa dengan menteri besar bagi mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan Zainol Fadzi dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan mereka (Otai Reformis) berpuas hati dengan penjelasan berkenaan.

"Menteri besar menjelaskan pelantikan Zainol Fadzi sebagai penasihat adalah disebabkan pengalaman beliau sebelum ini sebagai seorang exco kerajaan negeri boleh dimanfaatkan bagi mengukuhkan perjalanan pentadbiran negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa pimpinan PKR negeri bersama media di sini malam ini.

Sabtu lepas, Otai Reformis dilaporkan memberikan tempoh selama seminggu kepada Ahmad Faizal bagi menjelaskan tindakan beliau yang dianggap mengkhianati perjuangan mereka apabila melantik bekas pemimpin UMNO tersebut sebagai penasihat bertaraf exco.

Ahmad Faizal dalam satu sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan duta dan Ketua Misi Diplomatik Kesatuan Eropah di Malaysia di sini berkata pelantikan Zainol Fadzi sebagai penasihat menteri besar mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Beliau berkata pelantikan itu juga dibuat hasil rundingan bersama pemimpin parti komponen PH iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

-- BERNAMA