Kementerian Sumber Manusia akan memastikan nasib pekerja Scomi Engineering Bhd yang didakwa gagal mendapat bayaran gaji sehingga enam bulan terbela.

Sehubungan itu, kementerian akan mencari jalan bagi membolehkan penubuhan kesatuan sekerja di situ supaya segala isu dan permasalahan yang berbangkit akan diuruskan oleh kesatuan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencari jalan dan mencadangkan kepada kerajaan supaya pekerja syarikat-syarikat besar seperti Scomi Engineering boleh menubuhkan kesatuan sekerja.

Menurut beliau, adalah tidak wajar sebuah syarikat besar seperti Scomi Engineering tidak membayar gaji sehingga enam bulan kepada pekerjanya.

"Ada masalah macam mana pun, gaji kena bayar. Saya tak fikir dia nak tunggu penstrukturan semula, baru nak bayar gaji.

"Ini tak adillah kepada pekerja yang telah berkhidmat begitu lama. Kerana alasan nak struktur semula, maka gaji tak dibayar enam bulan. Ini bagi saya sangat tidak wajar," kata Mahfuz.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Parti Amanah Negera atau Amanah Perak di Ipoh, pada Ahad.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Mahfuz terkejut apabila dimaklumkan tentang kes membabitkan pekerja Scomi Engineering dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

BACA: Mahfuz terkejut kes tunggakan gaji pekerja Scomi Engineering

BACA: Sidang media Scomi Group Berhad kes tunggakan gaji pekerja dibatalkan

Kedua-dua pihak pekerja dan majikan perlu hadir pada 26 November di Jabatan Tenaga Kerja Rawang memandangkan kes ini sudah difailkan di Mahkamah Buruh.