Kerajaan dinasihatkan tidak bersetuju dengan pengecualian dan kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred 1.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ia sekali gus bertentangan dengan undang-undang perkhidmatan awam dan dasar negara selama ini.

"Alasan bahawa pengecualian diberi kerana para doktor dan kakitangan kontrak tidak munasabah.

"Kalau tidak boleh cakap Melayu, macam mana hendak rawat orang Melayu dan anggota masyarakat yang lain?

"Doktor Inggeris dahulu pun belajar cakap Melayu. Kenapa doktor kontrak tidak boleh belajar cakap Melayu?" soalnya di status terbaharu di laman Facebook miliknya.

BACA: Lulus BM dilonggar, elak ratusan graduan perubatan disia-siakan - MMA

BACA:
Kelonggaran syarat BM: 'Wujud risiko silap rawat jika doktor tidak faham pesakit'

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi graduan perubatan itu pada 23 Feb lalu bagi pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Dalam pada itu tegas Rais, syarat yang dilonggarkan itu akan menjadi seperti pepatah amalan jarum lulus kelindan yang memberi maksud apabila pekerjaan yang pertama berhasil dilakukan maka yang berikutnya juga akan berhasil juga.

"Ia suatu penurunan yang menghina dasar kebangsaan.

"Kalau doktor boleh mengingat dan belajar ribuan terma perubatan apakah masalahnya mengingati ayat dan terma BM, 'Apa sakit? Mana sakit?'.

"Mereka itu boleh belajar BM dalam satu bulan. Pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga boleh adakan sukatan pelajaran bahasa yang mudah dan praktikal," ujarnya.

Rais turut memberi peringatan kepada pegawai Melayu agar tidak menggadaikan maruah negara bangsa.

"Sudah terlalu banyak pemesongan dasar BM sebagai bahasa kebangsaan.

"Tindakan mengecualikan BM itu wajib ditarik balik," tegasnya.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam akan diminta memberi penjelasan berhubung kelonggaran syarat lulus BM di SPM.

Tegasnya, kedua-dua menteri berkenaan akan diminta berbuat demikian pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.