Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendakwa hanya dimaklumkan mengenai pembangunan awal projek tanpa sebarang maklumat mengenai status pertukaran hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Bagi Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Samsudin Othman yang turut menduduki kerusi Ahli Lembaga Pengarah Felda, tindakan ini jelas seakan ada cubaan untuk menggadai aset.

“Ia menunjukkan kelemahan urus tadbir pentadbiran yang banyak berselindung perancangan projek di tanah berkenaan,” dakwanya.

“Felda Investment Corporation (FIC) terus buat perjanjian, kita di peringkat Lembaga Pengarah pun tidak tahu cerita ini.

“Setelah tiga bulan baru dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah, dah dimaklum, kita hendak cerita apa, benda dah ditandatangan dah, lainlah kalau kita tidak tahu apa,” jelasnya ketika ditemui di pejabat Felda Wilayah Selatan di sini hari ini.

Samsudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) mewakili lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara turut mendesak tanah tersebut dikembalikan kepada Felda dengan apa jua cara sekalipun.

Terdahulu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir mempersoalkan bagaimana permindahan tanah milik Felda dilakukan dengan mudah tanpa penyeliaan yang jelas dalam sidang media pada 21 Disember lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kes pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, di sini bernilai RM270 juta dan perkara itu lebih menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan tertakluk di bawah siasatan polis.



BACA: Felda ditipu: Jual tanah, tapi tak dapat duit

BACA: Tanah Felda: Anak gesa lebih banyak laporan polis, SPRM dibuat